Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, oleh itu, lebih banyak pendedahan perlu diberikan kepada penuntut bumiputera dalam jurusan perakaunan bagi mengga­lakkan mereka menceburi profesion tersebut pada masa depan.

Beliau berkata, ini selaras dengan agenda pembangunan bumiputera dan matlamat kerajaan yang menyasarkan untuk meningkatkan jumlah akauntan profesional bumiputera kepada 18,000 orang menjelang tahun 2020.

Justeru katanya, Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) menerusi program intervensi yang akan dilakukan secara proaktif berperanan meningkatkan jumlah akauntan bertauliah bumiputera, sekali gus mencapai jumlah akauntan bertauliah dalam negara sebanyak 60,000 pada 2020.

“Banyak faktor yang menyebabkan kurangnya penglibatan bumiputera dalam bidang perakaunan, antaranya tahap pendedahan rendah, selain jurusan ini memerlukan pengetahuan tinggi dalam pengurusan nombor dan kefasihan berbahasa Inggeris.

“Disebabkan faktor itu, ramai penuntut bumiputera kurang berminat menceburi bidang perakaunan sedangkan akauntan merupakan profesion yang akan mendapat permintaan tinggi pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan MyPAC di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MyPAC, Datuk Zaiton Mohd. Hassan; Presiden Lembaga Penasihat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Malaysia, Datuk Lukman Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings, Azlizan Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Raja Azura Raja Mahyuddin.

MyPAC ditubuhkan dengan objektif untuk meningkatkan bilangan akauntan bertauliah bumiputera dalam tempoh lima tahun akan datang selaras dengan agenda pemerkasaan bumiputera oleh kerajaan.

Dalam pembentangan Bajet 2015 yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Pusat Perakaunan Profesional di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan menawarkan empat kursus perakaunan profesional iaitu ACCA, Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

Tambah Abdul Wahid, perkara terbabit merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melahirkan siswazah yang bersedia untuk industri bertujuan memastikan tenaga kerja muda Malaysia berpeluang memperoleh pendapatan tinggi hasil daripada transformasi ekonomi.

“Tenaga kerja berkemahiran tinggi dan profesional terutamanya dalam bahagian perakaunan serta kewangan dijangka mendapat permintaan tinggi iaitu dua kali ganda daripada permintaan semasa dan merupakan bukti kepada penting­nya profesion ini,” katanya.