Norjinda Mohd. Danial, 39, membuka dua akaun simpanan berjumlah RM1,000 dan RM500 untuk anaknya, Kamal Irfan Aqeef Kamal Rashdi, 7, yang merupakan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) King George V, Ampangan di sini.

Katanya, kira-kira dua ming­gu lalu, dia menerima panggilan dari­pada PTPTN memaklumkan tentang kemenangan dalam ca­butan hadiah.

“Saya menghubungi pe­jabat PTPTN Negeri Sembilan dan mereka mengesahkan akaun tersebut memenangi Cabutan Bulanan bernilai RM10,000.

“Pengurus Besar PTPTN ne­ge­ri, Ain Syuhara Idris juga me­nyarankan saya melihat majlis cabutan hadiah yang diadakan di laman sosial Facebook (FB Live) PTPTN dan selepas menontonnya barulah saya yakin,” kata­nya selepas majlis penyampaian Cabu­tan WOW! 20 Tahun PTPTN bulan September di SK King George V, di sini hari ini.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Da­sar dan Operasi) PTPTN, Mas­tura Mohd. Khalid.

Norjinda yang merupakan seorang usahawan berkata, kemenangan itu mendorongnya untuk terus menyimpan de­ngan SSPN-i dan menambah simpanan demi masa depan pendidikan dua orang anaknya.

Mastura da­lam ucapannya menyarankan masyarakat supaya merebut peluang membuka atau menambah simpanan dalam akaun SSPN-i dan SSPN-i Plus kerana ia merupakan tabung pendidikan terbaik.

Katanya, melalui tabungan awal sejak kanak-kanak lagi akan membolehkan graduan hanya mempunyai hutang pendidikan yang minimum.

“Simpanan pendidikan yang berterusan melalui SSPN-i dan SSPN-i Plus memberi peluang cerah kepada anak-anak untuk me­lanjutkan pelajaran tanpa menghadapi kekangan kewa­ngan.

“Hingga 30 September lalu, sebanyak 3.1 juta akaun telah dibuka dengan deposit berjumlah RM2.94 bilion,” katanya.