Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, semua caruman baharu yang diterima selepas umur 55 tahun secara automatik akan dimasukkan ke dalam Akaun Emas dan hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai umur 60 tahun.

Katanya, KWSP memutuskan untuk menyediakan akaun tersebut yang hanya bermula pada 1 Januari 2017 bagi memelihara simpanan ahli dari umur 55 ke 60 tahun memandangkan purata rakyat Malaysia kini masih be­kerja selepas berumur 55 tahun.

“Objektifnya adalah menye­laraskan umur untuk pengeluaran wang KWSP yang terakhir iaitu pada umur bersara 60 tahun seperti yang ditetapkan dan ia tidak menjejaskan simpanan ahli sedia ada kerana mereka boleh mengeluarkan simpanan pada umur 55 tahun seperti sedia kala.

“Akaun yang diwujudkan ini juga adalah satu keperluan mendesak kerana ada ramai pencarum KWSP yang masih bekerja selepas mereka berumur 55 tahun, maka ini (Akaun Emas) akan memberi mereka simpanan kedua sebagai persediaan untuk bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pembentangan mengenai polisi dan pembaharuan skim KWSP di sini hari ini.

Menurut Shahril Ridza, Akaun Emas adalah antara inisiatif di bawah penambahbaikan skim KWSP yang terkandung di dalam Akta KWSP 1991, selain polisi penamaan, peningkatan ku­antum Simpanan Asas, pengeluaran prapersaraan untuk ahli bukan warganegara dan penambahbaikan terhadap polisi pengurusan.

Dalam masa sa­ma, beliau turut ya­kin ramai ahli KWSP bakal menerima manfaat daripada Akaun Emas itu berikutan statistik menunjukkan kira-kira 250,000 ahli masih be­kerja pada umur antara 55 hingga 60 tahun.

“Tiada tekanan ataupun pak­saan kepada mereka yang mahu bersara pada umur 55 tahun ke­rana mereka dialu-alukan berbuat demikian. Akaun Emas ini hanyalah untuk majoriti mereka yang masih bekerja selepas umur 55 tahun bagi memastikan simpanan mereka terurus.

“Untuk Akaun Emas ini, tiada perbezaan caruman apabila majikan masih perlu menyumbang 12 hingga 13 peratus tertakluk kepada gaji pekerja, tetapi selepas pekerja berumur 60 tahun ke atas, caruman yang dikenakan hanyalah separuh daripada yang sebelum ini,” ujarnya.