Mashitah Ibrahim

Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, tindakan terhadap penyebaran ajaran sesat tidak boleh dilengahkan supaya tidak me­ng­ancam pegangan dan akidah penduduk di sekitar kawasan tersebut.

“Kita tidak mahu nanti Malaysia jadi se­perti negara jiran apabila kebebasan me­ng­a­­nut agama Islam ter­masuk ajaran sesat dibolehkan.

“Kebimbangan kita ada­lah apabila kita di Malaysia sudah meng­umumkan bahawa kita memartabatkan institu­si Ahli Sunnah Wal Ja­ma­ah tetapi ajaran sesat ini malah berani menubuhkan kompleks sendiri, jadi mungkin pihak berwajib perlu lihat masalah ini secara serius,” katanya kepada pembe­rita selepas menjadi panel dalam program Bicara Persada bertajuk Tragedi Keramat: Merungkai Per­tang­gungjawaban dekat sini hari ini.

Turut menjadi panel adalah Presiden Persa­tuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) Selangor, Maulana Mohd. Dailami Che Age; Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Ma’amor Osman dan Pengarah Pusat Kepemimpinan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Dr. Norizan Abdul Razak.

Katanya, memandangkan hal agama Islam tertakluk dalam bidang kuasa negeri, beliau berharap pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan segera bertindak.

“Seperti yang diketahui mereka ini sudah beroperasi lebih 40 tahun. Jadi mustahil pihak majlis agama tidak mengetahuinya tetapi persoalannya, mengapa begitu lambat untuk bertindak walhal mereka terang-terangan menjalankan aktiviti secara bebas.

“Ancaman keselamatan yang lain kita ambil serius sekarang ancaman akidah perlu dilihat sebagai ancaman yang serius dan membahayakan masyarakat dan kedudukan negara kita yang memegang agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.