Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd., Tan Sri Tony Fernandes berkata, tempahan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pesawat A330neo yang telah ditempah syarikat itu adalah sebanyak 100 buah.

"Langkah ini kita ambil bersandarkan keyakinan yang besar terhadap masa depan AirAsia X. Keputusan ini juga dibuat berdasarkan analisis-analisis terperinci oleh pasukan kita terhadap model pesawat ini termasuk dari aspek 'nuts and bolts' serta membandingkannya dengan model-model pesaingnya yang lain.

"Kita lihat model ini akan membawa penjimatan sebanyak 11 hingga 12 peratus kos operasi termasuk. Ini ditambah pula dengan enjin Rolls-Royce yang digunakan.

"Selain itu terdapat elemen-elemen inovatif lain pada pesawat yang boleh memuatkan sebanyak 377 penumpang ini," katanya kepada pemberita dalam satu majlis pengumuman khas berhubung perkara tersebut di sini hari ini.

Kesemua pesawat A330neo yang ditempah oleh AirAsia X itu terdiri daripada model A330-900 dan akan beroperasi di negara ini, Thailand dan Indonesia.

Tony sebelum ini dalam laman Twitter telah mengesahkan syarikat penerbangan itu telah menempah 66 buah pesawat penumpang A330neo. - UTUSAN ONLINE