Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, biarpun sumber air di kawasan itu disahkan selamat namun pihaknya melalui syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) telah menghantar beberapa lori tangki air sejak krisis yang dikatakan meragut 14 nyawa itu berlaku.

Beliau berkata, di samping itu pihaknya juga telah menghantar bekalan air bersih untuk diminum oleh penduduk di kawasan tersebut.

“Kita sudah bantu setakat yang kita boleh. Saya difahamkan di tempat itu ada digali telaga tiub dan bila kenyataan dibuat tiada pencemaran di dalam air, maka telaga tiub itu selamat digunakan, kecuali Jabatan Kesihatan buat kenyataan berbeza.

“Saya difahamkan tangki sudah dihantar, setakat hari ini masih lagi ada bekalan (air),” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan penduduk Orang Asli supaya bekalan air bersih di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Amar berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada agensi berkaitan mengenai wabak yang melanda penduduk kawasan tersebut namun tiada perkembangan terbaharu.

“Apa yang dibentangkan hampir sama dengan apa yang dilaporkan oleh akhbar, Jabatan Kesihatan, polis, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) pun sudah beri tahu ujian awal air tidak tercemar.

“Selama ini orang tuduh macam-macam mengenai Orang Asli ini kerana perlombongan, jadi Alhamdulillah setakat ini jawapan diberikan oleh pihak yang terbabit sudah jelas tidak bersangkut paut dengan perlombongan dan pencemaran air,” katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai aktiviti perlombongan dan pembalakan di kawasan tersebut kerana tidak mempunyai maklumat serta meminta mendapatkan maklumat lanjut daripada Pejabat Tanah dan Galian. - UTUSAN ONLINE