Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, masalah pencemaran air sungai itu disyaki bermula dari Empangan Batu Hampar, Batu Berendam di sini sebelum merebak hingga ke muara Sungai Melaka.

Menurut beliau, pihaknya bagaimanapun telah meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk membuat siasatan segera dan memberi maklum balas secepat mungkin mengenai masalah yang menjejaskan pengguna itu.

“Kita dimaklumkan air sungai mula menjadi hitam sejak malam tadi dan berbau busuk disebabkan banyak ikan yang mati.

“Pihak Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) juga berjanji untuk menyelesaikan segera masalah ini hari ini termasuk membersihkan bangkai-bangkai ikan dan menukar air sungai tersebut,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan tinjauan ke Sungai Melaka, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin.

Difahamkan, jarak yang perlu dibersihkan oleh PPSPM adalah sejauh tiga kilometer dari Taman Rempah ke Muara Sungai Melaka namun punca sebenar air tercemar itu adalah dari Batu Hampar sejauh kira-kira lima kilometer. - UTUSAN ONLINE