Cawangan Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelepasan air secara berterusan dari empangan itu bermula sejak 6 Januari lalu ekoran ketiadaan hujan lebat.

Menurutnya, pelepasan air sejak tarikh berkenaan adalah pada kadar 28.317 meter padu sesaat sehingga 42.475 meter padu sesaat mengikut keperluan harian.

"Sejak 14 Januari lalu pula, kadar pelepasan ditingkatkan kepada 56.634 meter padu sesaat dan dinaikkan kepada 70.792 meter padu pada 18 Januari sebelum diturunkan kembali kepada 42.475 meter padu sejak awal bulan ini.

"Malah, semalam, pelepasan daripada Empangan Pedu telah dikurangkan lagi kepada 36.812 meter padu kerana berlakunya pengurangan permintaan bekalan air untuk tanaman padi bagi musim 2/2018," katanya di sini hari ini.

Semalam, tiga sekeluarga yang sedang berkelah ditemukan mati lemas di sungai berkenaan apabila dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Tambah kenyataan itu, MADA juga telah memberhentikan pelepasan air daripada Empangan Pedu pada pukul 3 petang atas permintaan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu usaha mencari serta menyelamatkan (SAR) mangsa lemas di Sungai Pedu.

"Pelepasan air daripada empangan telah disambung semula pada pukul 7 petang hari yang sama setelah operasi SAR selesai.

"Kami juga ingin menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk sekitar agar sentiasa berhati-hati dan seboleh-bolehnya elakkan daripada mandi di kawasan sungai semasa musim bekalan air," katanya yang turut memaklumkan pelepasan air harian untuk kegunaan domestik adalah pada kadar 14.158 meter padu sesaat. - UTUSAN ONLINE