Pengarahnya, Norhazni Mat Sari berkata, perbuatan itu dikesan dilakukan di sebuah kawasan pelupusan sampah berhampiran Sungai Linggi pagi tadi.

"JAS Negeri Sembilan turut memperoleh rakaman video sebuah lori yang membuang air basuhan konkrit itu di lokasi tersebut.

"Usaha mengesan pemilik lori tangki sedang dibuat berdasarkan alamat yang tertera di kenderaan berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Norhazni berkata, perbuatan membuang air basuhan konkrit di kawasan tersebut dikhuatiri boleh mencemari Sungai Linggi apabila ia mengalir.

Kata beliau, JAS mengambil sampel air tersebut untuk pengesahan lanjut sebelum tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Dalam pada itu, katanya, air basuhan konkrit perlu dilupuskan di kawasan yang tidak mengancam alam sekitar dan diluluskan pihak berkuasa tempatan. - UTUSAN ONLINE