BARJOYAI BARDAI
BARJOYAI BARDAI

Menurut pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai, jika tidak dilakukan sekarang, proses pengambilalihan berkenaan yang sebelum ini tertangguh selama empat tahun itu akan menyebabkan kerajaan negeri menanggung kos yang lebih tinggi.

Pensyarah ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) itu berkata, keadaan itu bakal terjadi disebabkan keperluan untuk membaiki dan menaik taraf infrastruktur pembekalan air di Selangor yang ada antaranya berusia puluhan tahun.

Barjoyai menjelaskan, sekiranya tindakan berkenaaan tidak dilaksanakan segera, kos penyelenggaraan serta pembekalan air di Selangor akan terus meningkat dan dalam jangka masa panjang akan membebankan serta menjejaskan rakyat di negeri tersebut.

“Benar kos pengambilalihan itu agak tinggi berbanding sebelum ini, namun kita kena lihat kepada kebaikan tindakan berkenaan untuk jangka masa panjang. Jika tidak dilaksanakan sekarang, keputusan ini mungkin akan melibatkan kos keseluruhan yang lebih tinggi dan membebankan rakyat.

“Air adalah hak awam. Kita harus faham apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri adalah bagi memastikan pembekalannya dapat dilaksanakan dengan cekap dan tidak membebankan rakyat di kemudian hari,” katanya ketika dihubungi Utusan Online untuk mengulaskan mengenai keputusan pengambilalihan Splash oleh Air Selangor pada harga RM2.55 yang hangat diperkatakan ketika ini.

Proses pengambilalihan berkenaan merupakan sebahagian daripada proses penstrukturan semula pembekalan air Selangor yang telah berlarutan selama 10 tahun.

Pada 30 Jun lalu, Splash telah bersetuju memberi diskaun sebanyak 28 peratus berdasarkan nilai buku bersih syarikat terbabit sebanyak RM3.54 bilion kepada Air Selangor bagi memuktamadkan proses pengambilalihan berkenaan.

Dengan termuktamadnya proses pengambilalihan ini, Air Selangor bakal muncul sebagai syarikat tunggal yang menjalankan proses merawat dan mengagih air terawat kepada pengguna Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya menjelang tahun depan.

Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, tawaran Air Selangor untuk mengambil alih Splash telah dicapai selepas proses rundingan selama hampir setahun.

Tegas beliau, atas sebab itu, nilai yang ditawarkan adalah adil dan munasabah berasaskan kepada prinsip persetujuan bersama (willing buyer, willing seller) selain mendapat pengesahan daripada penilai-penilai bebas yang dilantik kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE