Tidak kira sama ada Aiman bergerak secara solo sebagai drum cover ataupun bersama kumpulan Real Spin, Aiman juga menyimpan hasrat dan cita-cita untuk melakarkan namanya sebagai pemain dram lelaki nombor satu negara.

Menjadikan pemain dram cover Nur Amira Syahira sebagai salah seorang idolanya, Aiman membuktikan kepada peminat muzik Malaysia bahawa beliau mampu berjaya merealisasikan cita-citanya itu.

“Saya mahu seimbang, pelajaran dan bermain muzik kerana minat yang mendalam dalam bidang muzik tidak dapat dipisahkan.

“Namun saya sedar masa depan saya masih panjang dan insya-Allah, saya akan menjadi pemain dram yang hebat di negara kita,” katanya.

Petang ini, Aiman bersama Real Spin diberi peluang untuk membuat persembahan pembukaan pada Konsert Mini Damasutra, Air Mata Rohingya di Hard Rock Care dekat sini.

Konsert mini ini dianjurkan oleh Insaf Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengisi tabung untuk membeli solar panel untuk pelarian Rohingya di Bangladesh yang hidup dalam kegelapan pada waktu malam di kem pelarian kerana ketiadaan bekalan elektrik.

Real Spin bersama vokalisnya, Khalish mempersembahkan empat buah lagu iaitu Mengusung Rindu, Janji Kita, Selamat Malam Rohingya dan single terbaharu mereka , Semakin Rindu. - UTUSAN ONLINE