ISMAIL ABD. MUTTALIB menyampaikan sumbangan kepada anak yatim
ISMAIL ABD. MUTTALIB

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap majikan yang gagal menyediakan faedah ditetapkan kepada pekerja mengikut Akta Kerja 1955.

“Pekerja yang be­kerja pada hari cuti umum berhak mendapat upah kerja lebih masa yang ditetapkan malah ada sesetengah majikan menyediakan pelbagai faedah lain.

“Jadi dari segi peraturan, pekerja boleh menuntut hak mereka dan sekiranya mereka membuat laporan kepada Kementerian Sumber Manusia, tindakan terhadap majikan boleh dikenakan berdasarkan akta berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Parlimen Maran di kediamannya di sini semalam.

Menurut Ismail, kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta.

Tegasnya, majikan yang tidak membayar upah kerja lebih masa berdasarkan peraturan ditetapkan boleh didakwa mengikut Seksyen 100 (2) Akta Kerja 1955 dan pekerja boleh membuat tuntutan di mahkamah buruh bagi menuntut gaji kerja lebih masa di bawah Seksyen 69 akta yang sama.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri, beliau berharap majikan akan memberi pertimbangan cuti yang wajar khususnya kepada pekerja yang perlu pulang ke kampung halaman yang lebih jauh.

Katanya, pertimbangan yang baik dan wajar daripada majikan amat penting dalam menunjukkan keprihatinan mereka kepada pekerja seterusnya mampu meningkatkan motivasi dan semangat mereka.

“Selalunya cuti ini tidak panjang tetapi pekerja terutama yang di luar dan berjauhan dari kampung halaman seperti Sabah dan Sarawak tentulah tidak boleh kembali ke kampung setiap minggu kerana kosnya agak tinggi,” katanya.