Najib Tun Razak beramah mesra dengan Sofea Qaisara Syafiq Khuzairil, 5, yang menghidap Sindrom Dandy-Walker (DWS) iaitu masalah penglihatan, cacat fizikal dan pembelajaran pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sempena 1 Syawal di Seri Perdana, Ahad lepas.Sofea Qaisara bersama ibunya Ummikhalthom Ayub, 37, dan kakaknya Sofea Qalisya, 7, telah dijemput khas oleh Najib untuk menghadiri majlis rumah terbuka itu. BERNAMA

Tangan kecil kanak-kanak ber­usia lima tahun itu, yang meng­hidap Sindrom Dandy-Walker (DWS) iaitu masalah peng­lihatan, cacat fizikal dan pembelajaran, terus disambut oleh Najib dengan senyuman, sekali gus bibir kanak-kanak itu mula mengukir senyuman lebar.

Kemesraan antara si cilik dan Perdana Menteri itu terus mencuit hati semua hadirin apabila melihat perasaan gembira dan teruja jelas terpancar pada wajah Sofea Qaisara.

Sofea Qaisara bersama ibunya, Ummikhalthom Ayub, 37, dan kakaknya Sofea Qalisya, 7, telah dijemput khas oleh Najib untuk menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di sini, Ahad lepas.

Sambutan Aidilfitri tahun ini buat tiga beranak itu amat istimewa dan bermakna apabila mereka menerima ‘hadiah’ dalam bentuk sebuah kediaman baharu yang lebih selesa daripada Perdana Menteri.

Tanggal 22 Jun, tarikh yang sukar dilupakan Ummikhalthom apabila Najib sendiri membuat ‘kejutan’ dengan menghadiahkan seunit pangsapuri dilengkapi perabot kepadanya di Pangsapuri Putra Damai di Presint 11 di sini.

“Sehingga hari ini saya masih tidak percaya apa yang berlaku pada hari itu (22 Jun)... tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa Perdana Menteri akan menghadiahkan unit kediaman kepada kami tiga anak-beranak,” kata Ummikalthom kepada Bernama.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada Perdana Menteri. Beliau seorang pe­mim­pin yang prihatin dan berhati mulia. Beliau turun padang dan mengambil tahu masalah rakyat.

“Hari Raya Aidilfitri tahun ini amat istimewa dan bermakna buat kami sekeluarga. Terima kasih PM,” kata Ummikalthom yang kini bekerja sebagai pembantu operasi di myFarm Outlet di sini.

Kediaman tiga bilik seluas 700 meter persegi itu dilengkapkan dengan perabot dan ke­lengkapan seperti sofa, televi­syen, mesin basuh, peti ais dan kelengka pandapur.

Selain perabot, rumah baharu mereka juga terdapat bilik ma­inan yang dihias khas untuk Sofea Qaisara dan kakaknya.

“Adik (Sofea Qaisara) sangat suka bilik itu,” katanya.

Selain hadiah istimewaitu, Najib meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat terus meng­hulurkan bantuan sebanyak RM300 sebulan dan bekalan lampin setahun kepada Sofea Qaisara. – BERNAMA