Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, kerajaan sedang meneliti pelbagai aspek terutama kedudukan kewangan sebelum membuat keputusan mengenainya.

"Sehingga hari ini tiada sebarang keputusan dibuat (berhubung pemberian imbuhan kepada kakitangan awam dan pesara)," katanya kepada pemberita pada majlis Program Transformasi Komuniti Bergerak Orang Kampung Selising yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Selising, Zulkifli Ali di sini, hari ini.

Khamis lepas Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyatakan hasrat untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan pemberian bonus raya sebulan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam menjelang Aidilfitri ini.

Mohd Irwan berkata, terserah kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak untuk memberi imbuhan itu berasaskan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau menafikan laporan di laman sosial terutama Facebook, yang menyatakan kononnya kerajaan bersetuju membayar imbuhan sebanyak RM500 kepada setiap kakitangan awam dan pesara menjelang Aidilfitri ini.-BERNAMA