Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, berikutan itu semua sekolah yang terlibat atau sekolah di bawah Kategori B perlu menggantikan hari persekolahan pada 17 Jun ini.

“Negeri-negeri Kategori B itu adalah Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Ini bermakna hari Jumaat iaitu 23 Jun, sekolah-sekolah Kategori B akan bercuti tetapi mesti diganti pada 17 Jun,” katanya dalam majlis berbuka puasa kementerian itu bersama kira-kira 1,000 kakitangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) sebelum ini meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula hari permulaan cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Presidennya, Datuk Mohd. Sabri Mohd. Arshad memohon agar seramai 421,828 guru dan 5.1 juta pelajar serta 70 sekolah berasrama penuh (Kategori B) diberi cuti sekolah seawal sehari atau dua hari supaya mereka dapat sampai ke destinasi masing-masing dengan lebih selamat dan selesa.

Berdasarkan takwim asal Kementerian Pendidikan, semua sekolah di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor akan mula bercuti pada 23 Jun ini (Jumaat) manakala negeri lain bermula pada 24 Jun (Sabtu).