Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan, pihaknya telah membenarkan import daging dilakukan.

“Kita menjangkakan terdapat peningkatan bekalan pada sambutan hari raya ini, namun bekalan barang adalah mencukupi seperti bekalan daging hidup, kerajaan membenarkan import dari Australia, manakala daging sejuk beku pula diimport dari India bagi menampung keperluan pengguna.

“Bagi barangan lain pula secara keseluruhan juga mencukupi,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di MyFarm Outlet di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak tiga lagi pasar berkonsepkan MyFarm Outlet akan dibangunkan iaitu di Puchong dan Setia Alam, Selangor serta Sungai Dua, Pulau Pinang.

Beliau berkata, konsep pasar belian terus hasil pertanian itu semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna kerana menawarkan harga yang berpatutan dan berkualiti. - UTUSAN ONLINE