Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum berkata, kesemua mereka ditugaskan menjaga sempadan negara bagi berdepan sebarang kemungkinan termasuk ancaman yang datang dalam pelbagai cara.

“Hari Raya Aidiladha sangat bermakna buat ATM kerana mereka berkorban dengan cara tersendiri demi mempertahankan negara. Apa yang kita nikmati sekarang iaitu keamanan ini adalah hasil pengorbanan anggota tentera yang berjuang untuk negara.

“Ketika ini, kira-kira 10,000 pegawai dan anggota ATM ditugaskan mengawasi sempadan Malaysia-Thailand, Laut China Selatan serta Laut Sulu,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Korban ATM di Masjid Khalid Al-Walid di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 30 ekor lembu dikorbankan dan dagingnya diagihkan kepada anak yatim serta penduduk setempat.

Mohd. Johari menambah, pe­ngorbanan ATM sangat besar ke­rana ada dalam kalangan mereka meninggal dunia ketika bertugas atau mengalami kecacatan se­umur hidup demi mempertahankan negara.

“Pengorbanan mereka amat besar dan seharusnya dihargai rakyat. Saya mewakili kementerian berharap agar mereka terus berjuang mempertahankan bumi ini dan pastinya pengertian korban itu sangat bermakna buat ATM yang sentiasa siap sedia berkorban untuk negara,” katanya.