Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam lawatannya itu, beliau menyaksikan sendiri keadaan pelarian etnik tersebut yang berada dalam situasi serba kekurangan dan terpaksa melalui pelbagai kesusahan serta keperitan untuk terus hidup.

Beliau berkata, sokongan daripada negara-negara anggota D-8 amat diperlukan bagi membantu meringankan penderitaan yang sedang dihadapi oleh kumpulan minoriti dari Myanmar itu.

''Dalam hubungan ini, saya memuji usaha murni kerajaan Bangladesh yang memberikan perlindungan kepada etnik tersebut,'' katanya ketika berucap mewakili kerajaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak D-8 yang berlangsung di sini hari ini.

Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.  Selain Malaysia, D-8 dianggotai oleh Turki, Bangladesh, Iran, Indonesia, Pakistan, Mesir dan Nigeria.

Ahmad Zahid berkata, dalam masa yang sama, etnik Rohingya yang masih berada di negeri Rakhine juga terus ditindas dan Malaysia menggesa kerajaan Myanmar membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke negara tersebut supaya kelompok itu dapat dibantu.

''Malaysia percaya pelaksanaan cadangan yang disyorkan dalam Laporan Suruhanjaya Penasihat Rakhine berkaitan pembangunan sosioekonomi dapat membantu memperbaiki keadaan komuniti Rohingya.

''Bagaimanapun, cadangan itu hanya dapat dilaksanakan jika wujud kestabilan politik di wilayah tersebut,'' tegasnya.

Bagi pihak Malaysia, Ahmad Zahid berkata, sebuah hospital medan yang menempatkan 50 katil akan  beroperasi dalam tempoh sebulan dari tarikh lawatan beliau pada 16 Oktober lalu. -UTUSAN ONLINE