Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu sebaliknya, menegaskan kerajaan tidak akan sesekali membenarkan negara ini dijadikan batu loncatan atau tempat untuk melancarkan keganasan dan jenayah antarabangsa.

Katanya, walaupun tindakan tegas boleh diambil tetapi ia perlu mengambil kira soal terjemahan keadilan buat rakyat kedua-dua negara tanpa mengetepikan keutamaan untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia.

"Ya, kita diugut, kita diancam, saya tidak mahu menyebut lebih daripada itu kerana sembilan rakyat kita masih ada di negara itu. Saya menyebutkan mereka juga ada rakyat di negara kita.

"Kita tidak mahu menggunakan ini sebagai `bargaining power' atau pun sebagai rundingan untuk kita mahu mengorbankan rakyat kita dan mahu mengorbankan rakyat mereka.

"Malaysia mempunyai pemimpin-pemimpin yang rasional, Insya-Allah selagi mereka menjaga rakyat kita baik-baik, maka kita akan jaga rakyat mereka.

"Kita tidak mahu menggangu-gugat selagi mereka tidak menggangu-gugat kita. Kita akan menghormati mana-mana pemimpin negara luar selagi mereka menghormati pemimpin kita," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap menyempurnakan majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-cawangan Peringkat Terengganu di Stadium Negeri di sini petang ini. - UTUSAN ONLINE