Sebelum menyertai GPB, Ahmad Nadzarudin adalah Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Panglima, sebuah syarikat yang terlibat dalam sumber asli beroperasi di Malaysia, Laos dan Indonesia.

Di samping itu, GPB dalam satu kenyataan memberitahu, beliau turut mempunyai pengalaman luas dengan memegang pelbagai jawatan kanan dalam konglomerat Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Lulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of Houstan, Amerika Syarikat dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Warwick, England ini merupakan Ketua Bahagian Perkhidmatan di DRB-Hicom Berhad pada 2011 yang bertanggungjawab terhadap Puspakom dan Alam Flora.

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di PosLaju Courier Nasional sebagai Ketua Pegawai Operasi; Pengurus Besar Perancangan Korporat di Pos Malaysia Berhad dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat di Prolink Development, sebuah subsidiari Renong Berhad.

Pengerusi GPB, Datuk Muhammad Pehimi Yusof mengucapkan tahniah kepada Ahmad Nadzarudin sambil melahirkan keyakinan di atas kemampuan CEO baharu itu dalam membantu Kumpulan GPB memulakan aliran pertumbuhan.

GPB yang merupakan syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia terlibat dalam pengurusan konsesi hutan; pembalakan dan pengagihan; pengilangan papan dan pemprosesan tambah nilai barangan berasaskan kayu; pengilangan serta penjualan panel kaca seni binaan. - UTUSAN ONLINE