Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas antara Ahmad Hasbullah dan Zulkiple disaksikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Ahmad Hasbullah, 57, pernah memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat pada 2009 sebelum dilantik Timbalan Panglima Tentera Darat pada 2011.

Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981.

Selain itu, beliau pernah menjadi Pengarah Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama tiga tahun bermula 1 April 2001 dan berperanan mengubah dasar Skim Pengajian Tinggi ATM apabila cuti melanjutkan pengajian bergaji penuh diluluskan.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah dalam ucapannya berkata, beliau akan memastikan empat teras yang digariskan Panglima ATM dapat direalisasi bagi memastikan Tentera Darat kekal cemerlang.

“Hari ini amanah dan tugasan telah diterima dan saya berdoa memohon kekuatan untuk memimpin Tentera Darat. Segala khidmat nasihat serta agenda Kementerian Pertahanan akan disokong demi kecemerlangan Tentera Darat,” katanya.

Sebelum ini, Zulkifli menggariskan empat teras utama bagi memastikan ATM kekal relevan serta cemerlang dalam menjaga kedaulatan negara.

Teras itu adalah Angkatan Profesional, Ketumbukan yang Siap Siaga, Keutuhan Organisasi dan Memperkasa Kualiti Hidup. - BERNAMA