Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Ahmad Faiz, pelajar pertama UniSZA belajar di rumah

Ahmad Faiz UniSZA
AHMAD Razif bersama Idris menemui Ahmad Faiz dalam majlis perasmian asrama UniSZA, di Taman Ilmu, Besut hari ini. - UTUSAN ONLINE

BESUT 5 Sept. - Ahmad Faiz Ibrahim, 19, pelajar kalangan orang kurang upaya (OKU) yang mencatat pencapaian luar biasa dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016, turut diberi keistimewaan luar biasa oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.


Remaja itu yang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menjadi pelajar pertama mengikuti pengajian dalam talian secara ekstensif.


Ahmad Faiz, dari Kampung Demit Kubang Kerian Kelantan yang membuktikan walaupun keupayaan fizikalnya yang sangat terbatas, dan kesukaran yang dilalui tidak menghalangnya untuk mencapai kecemerlangan, mendapat kemudahan untuk mengikuti pengajian dari rumah.


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya telah mengarahkan UniSZA untuk memanfaat dan memperkasakan platform pembelajaran dalam talian atau Massive Open Online Courses (MOOC) khusus buat pelajar itu.


“Ini bermakna Ahmad Faiz tidak perlu sentiasa ke kelas,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kolej Kediaman UniSZA Taman Ilmu di sini hari ini.


Pelajar itu dibawa oleh UniSZA untuk bersama dalam majlis perasmian Asrama UniSZA Kampus Besut, di Taman Ilmu, di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Taman Ilmu Tembila, dekat sini hari ini.


Ahmad Faiz turut diberikan komputer riba oleh Menteri Besar untuk kemudahan belajar. 


Ahmad Faiz yang terpaksa menulis dengan bantuan dagu dan mulut ekoran penyakit cerebral palsy merupakan salah 
seorang daripada 19 pelajar terbaik STAM 2016 Kelantan dengan memperoleh 10 Mumtaz (cemerlang).


Ekoran penyakit yang dihidapinya sejak kecil, hampir 90 peratus, pergerakannya perlu dibantu kerana kaki dan tangannya tidak boleh dialih atau diangkat menggunakan kudrat sendiri.


“Saya bersyukur kerana dapat membuktikan kepada orang lain, remaja OKU seperti saya juga boleh berjaya jika ada kemahuan, dan sangat gembira kerana diberi kemudahan untuk menyambung pengajian,” ujar Ahmad Faiz.


Ahmad Faiz yang awalnya berhasrat untuk menyambungkan pelajaran di Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah, Arab Saudi bercita-cita untuk menjadi ilmuan agama untuk bersama berperanan mengembangkan syiar Islam di negara ini. - UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain