Majlis angkat sumpah jawatan itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Mohd. Yusof di dalam Kamar Khas bangunan Parlimen.

Yamani Hafez merupakan Anggota Parlimen ke-222 dan terakhir mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat selepas lebih lapan bulan tidak kelihatan sebaik saja tamat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

Sebelum ini, beliau telah diberikan surat peringatan untuk tampil mengangkat sumpah segera atau berdepan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika gagal berbuat demikian selepas tempoh ditetapkan pada 15 Januari ini.

Sementara itu, dalam ucapan pemasyhuran beliau sebagai ahli Parlimen, Mohd. Ariff mengucapkan sekalung tahniah dan berharap Yamani Hafez melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan terhormat kepada negara.

Wartawan dan jurukamera media yang hadir membuat liputan, bagaimanapun dihalang oleh petugas Parlimen untuk mendapatkan reaksi Ahli Parlimen Sipitang itu dan mereka diarahkan beredar dari kawasan pekarangan kamar khas berkenaan. - BERNAMA