Beliau hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) pada pukul 3.30 petang dengan ditemani kira-kira 10 orang penyokongnya.

Menurut Shahruddin, beliau dihubungi pemaju berkenaan pada 2015 yang menawarkan skim pemilikan rumah mampu milik kepada orang ramai pada harga hanya RM30,000 seunit.

Katanya, disebabkan tawaran itu boleh memberi kebaikan kepada penduduk di daerah ini, maka beliau telah mengadakan satu pertemuan penduduk bersama pemaju tersebut.

"Pemaju kemudian menghubungi penduduk yang berminat dan tidak lama selepas itu telah membina sebanyak empat buah rumah di Kangar dan Arau.

"Walau bagaimanapun selepas itu, pemaju tersebut menghilangkan diri dan nama saya pula dikaitkan dengan mereka (pemaju) di laman sosial baru-baru ini.

"Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa saya tiada kaitan mahu pun kepentingan dengan pemaju ini," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan.

Beliau berharap, polis akan menyiasat kes itu segera bagi membersihkan namanya dan mengelak lebih ramai orang menjadi mangsa. - UTUSAN ONLINE