Presiden Persatuan Pegu­am Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, sebelum ini ahli Parlimen Islam dan bukan Islam menolak pindaan itu, mungkin kerana tidak memahami terma dan kaedah dalam rang undang-undang tersebut.

Katanya, mereka perlu memanfaatkan bacaan kali kedua ini sebaik mungkin untuk membahas usul pindaan berkenaan.

“Pindaan itu lebih kepada memperkasa peranan mahkamah syariah. Masyarakat bukan Islam ti­dak perlu bimbang kerana bidang kuasa jenayah mahkamah sya­riah tidak memberi kesan kepada kesalahan jenayah di mahkamah sivil.

“Jika ahli Parlimen Islam faham sudah pasti RUU 355 mudah diluluskan. Kalau pilih sebalik­nya, saya pasti sokongan rakyat kepada mereka turut berubah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Azril Mohd. Amin juga mahu semua ahli Parlimen Islam bersatu dan mempunyai kesedaran yang tinggi menyokong pindaan itu.

“Jika diluluskan, martabat mahkamah syariah dapat di­tingkatkan, bidang kuasanya lebih luas dan menyeluruh.

“Selain itu, ahli Parlimen bukan Islam juga perlu menyokong dan faham situasi negara ini yang mempunyai dua jenis ins­titusi mahkamah. Jika peranan mahkamah sivil perlu ditambah baik, begitu juga dengan mahkamah syariah yang hanya dikhususkan untuk orang Islam sahaja,” ujarnya.