Usaha memasarkan produk berasaskan pertanian, penternakan dan hasil laut menerusi dalam talian perlu diperkembangkan lagi bagi memastikan platform tersebut digunakan sebaik mungkin dalam menjana pendapatan.

Justeru itu, portal jualan dalam talian, AgroBazaar di bawah selian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sewajarnya menjadi pilihan usahan agro tempatan memasarkan produk mereka kerana ianya menawarkan pasaran yang luas di dalam dan luar negara.

Dilancarkan ketika Sambutan Hari Ulang Tahun ke-50 FAMA pada 5 Disember tahun lalu, platform jualan dalam talian ini kian berkembang apabila berjaya menjana jualan produk agro bernilai RM1.8 juta, untuk tempoh sembilan bulan pertama.

Bermula dengan 300 produk, AgroBazaar kini menjual lebih 7,000 produk agro tempatan yang melibatkan kira-kira 3,000 usahawan berdaftar dengan portal tersebut.

Jumlah usahawan dan produk jualan yang meningkat setiap bulan menunjukkan bahawa tren jualan produk agro secara dalam talian semakin mendapat sambutan bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa.

Antara produk yang ditawarkan adalah industri asas tani, agroperkhidmatan, perikanan, ternakan, tanaman dan agropelancongan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, melalui AgroBazaar pasaran produk pertanian tempatan semakin meluas seiring dengan kemajuan teknologi terkini.

“Kenapa syarikat e-dagang terbesar China, Alibaba Group Holding Ltd. (Alibaba) boleh buat (platform pemasaran) tapi kita tidak? Platform untuk usahawan kecil dan sederhana untuk pasarkan produk mereka.

“AgroBazaar menjalankan konsep menjual dan membeli. Kita baharu bermula dan saya mahu tekankan bawah kebolehan pasaran bukan sahaja dalam negara tetapi dinperingkat antarabangsa, ianya perlu dibangunkan khususnya membantu golongan pertengahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan buku direktori dan agropelancongan pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 di Tapan Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang dekat sini hari ini.

HPPNK yang bermula semalam dan akan berakhir Ahad ini merupakan platform menghargai dan meraikan mereka yang terlibat dalam penyedia­an makanan di semua peringkat, daripada pengeluaran iaitu petani, penternak dan nelayan kepada yang memproses, memasak serta menghidangkan makanan. - UTUSAN ONLINE