Mereka ialah Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif serta dua bekas menteri kabinet, Tun Michael Chen Wing Sum dan Tun S. Samy Vellu. Ketiga-tiga mereka dianugerahi darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran ‘Tun’.

Md Raus, 66, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun berkuat kuasa pada 4 Ogos lepas, menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sehingga 3 Ogos 2017.

Samy Vellu, 81, pula merupakan Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur berkuat kuasa pada 1 Jan 2011 dan merupakan antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam kabinet bermula sebagai Menteri Kerja Raya dan Utiliti pada tahun 1979 sehingga tahun 2008. - BERNAMA