Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) Malaysia Cawangan Perak, Zairol Hizam Zakaria berkata, pihaknya juga sebulat suara untuk memohon supaya semua kerja kontraktor kelas F dapat diundikan.

"Kontraktor kelas F nilai kerja had maksimumnya ialah RM200,000. Jadi, kami mohon untuk RM100,000 ke bawah itu dapat dibuat secara undian terbuka sementara RM100,000 ke atas pula dilakukan secara sebut harga.

"Melalui pendekatan ini, ia memungkinkan kontraktor kelas F seperti kami ini dapat belajar dan meningkatkan keupayaan diri pada masa akan datang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zairol Hizam berharap, wakil rakyat baharu yang dipilih oleh rakyat pada kali ini tidak bersikap seperti pemimpin terdahulu yang kebanyakannya memonopoli projek-projek jabatan kerajaan, justeru meminta perbuatan itu dihentikan.

Beliau turut mahu pemberian projek seperti di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kepada syarikat konsesi turut dibatalkan kerana ia menyekat ruang dan peluang kontraktor kelas F yang ramai di negeri ini iaitu melebihi 2,000 orang.

"Selain itu, kita juga mahu kerajaan melihat kembali penguatkuasaan bagi pelaksanaan dasar mewajibkan hanya kontraktor berdaftar sahaja boleh melaksanakan kerja ubah suai rumah persendirian (B28) di semua pihak berkuasa tempatan kerana ia kini dimonopoli oleh warga asing yang bukan merupakan kontraktor," katanya. - UTUSAN ONLINE