Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pengagihan pendapatan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM724.10 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih daripada 390,000 pemegang akaun yang kini memiliki 12 bilion unit.

“AS1M mencatat pendapatan bersih sebanyak RM600.47 juta iaitu pertumbuhan sebanyak 16 peratus daripada RM517.28 juta pada tahun lalu yang didorong oleh prestasi pasaran ekuiti domestik lebih kukuh khususnya di kaunter kewangan dan perkhidmatan,” katanya dalam majlis pengumuman pengagihan pendapatan AS1M di sini hari ini.

Menurut Abdul Wahid, pengiraan pengagihan pendapatan untuk AS1M adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangannya.

Beliau berkata, pembayaran agihan pendapatan tersebut akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober ini. - UTUSAN ONLINE