Baginda bertitah, dalam menghadapi musibah berkenaan yang melanda saban tahun, tidak seharusnya ada pihak atau kawasan yang tercicir daripada menerima bantuan.

Sehubungan itu, titah baginda, pengurusan operasi penyaluran bantuan mesti dilakukan dengan cekap dan berkesan bagi memastikan nasib mangsa banjir mendapat pembelaan.

“Kadangkala apabila kita me­numpukan kepada sesuatu kawasan dengan pelbagai agensi atau pihak datang membantu, ada tempat lain yang perlu dibantu tetapi tiada orang hendak bantu.

“Kalau sudah nampak tempat ‘A’ dibantu, jangan semua ke situ juga. Pergilah ke tempat ‘B’ dan ‘C’. Langkah ini sekurang-kurangnya dapat kita mengagih­kan bantuan secara saksama,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas mencemar duli melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Sepayang di sini hari ini.

Yang turut berangkat Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail serta pemimpin-pemimpin setempat.

Sementara itu, semasa bertitah pada program berkenaan, Tengku Abdullah menyeru kepada semua pihak supaya bersatu tenaga membantu mangsa banjir supaya bantuan yang disalurkan lebih teratur dan berkesan.

Titah baginda, kegagalan berbuat demikian antara pihak-pihak terlibat seperti agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menyebabkan pertindihan bantuan serta pembaziran tenaga kerja.

“Kita tidak mahu berlaku pertindihan bantuan apabila terdapat satu keluarga itu mendapat banyak bantuan daripada pelbagai agensi, sebaliknya ada keluar­ga yang tersisih.

“Saya juga berharap supaya tenaga kerja tidak dibazirkan,” titah baginda.

Baginda juga mahu aspek kebersihan di pusat pemindahan sementara dikendalikan dengan baik bagi mengelakkan jangkitan penyakit yang boleh menyusahkan semua pihak.