Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis berkata, arahan itu dilaksanakan bermula Ogos depan sebagai salah satu usaha kerajaan negeri menggalakkan kakitangannya berpakaian kebangsaan sekali gus menampilkan imej yang positif kepada pelancong.

Katanya, sebagai contoh, kakitangan dan pegawai di agensi-agensi seperti Menara Taming Sari Berhad (MTSB), Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan beberapa muzium yang ada di negeri ini akan memakai busana mengikut budaya masing-masing ketika menerima kehadiran pengunjung.

"Pegawai pelancongan berketurunan Melayu akan memakai pakaian tradisional Melayu beserta tengkolok, manakala pegawai-pegawai dari keturunan lain akan memakai busana tradisional masing-masing seperti cheongsam, saree dan sebagainya.

"Pada setiap hujung minggu iaitu tiga hari yang menjadi tumpuan pelancong, semua pegawai kerajaan negeri akan memakai pakaian tradisional dan jika kita tidak mulakan dahulu, siapa lagi yang akan berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis rumah terbuka anjuran MTSB dan pelancaran Karnival Ulang Tahun ke-10 MTSB di pekarangan menara itu di Banda Hilir di sini petang ini. Yang turut hadir, Pengurus Besar MTSB, Mohd. Khuzairie Mohd. Kamal Kannan.

Menurut Muhammad Jailani, pemakaian pakaian tradisional itu melibatkan kakitangan kerajaan negeri dan agensi daripada pelbagai kaum di negeri ini termasuk Melayu, Cina, India, Portugis serta Baba dan Nyonya.

Untuk itu kata beliau, pihaknya akan berbincang dengan pengusaha produk pakaian tradisional di negeri ini untuk menghasilkan pakaian yang tidak terlalu panas untuk dipakai bagi tujuan itu. - UTUSAN ONLINE