Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Salahuddin Ayub berkata, perjuangan tersebut tidak pernah ditinggalkan sebaliknya akan terus diperkukuhkan.

"Memperlengkapkan kemudahan berkaitan dan menambah segala bentuk bantuan serta insentif tidak pernah dilengahkan pihaknya.

"Apa yang penting semua nelayan dapat faedah daripada segala insentif dan bantuan disediakan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam lawatan ke Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako (PPLTB) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jamaluddin Othman dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan LKIM, Untong Keri dan Pengarah LKIM Sarawak, Kusuadi Sallih.

PPLTB merupakan antara pelabuhan perikanan yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara.

Pelabuhan itu mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos tahun lalu mula dibangunkan pada bulan Mac 2014 di atas tanah berkeluasan 17.16 hektar dan siap sepenuhnya pada bulan Julai tahun lalu.

Bagi tempoh Januari sehingga Jun lalu, ikan yang didaratkan di PPLTB adalah sebanyak 1,614 metrik tan dengan nilai sebanyak RM 4.14 juta.

Jumlah vesel perikanan yang berdaftar dan mendaratkan ikan di PPLTB bagi tempoh sama adalah sebanyak 62 buah bot iaitu sebanyak 35 peratus daripada jumlah keseluruhan yang berdaftar di kawasan Kuching.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu isu lesen perikanan laut dalam akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam jawatankuasa bersama yang ditubuhkan.

"Saya yakin dan percata isu ini akan dapat diselesaikan dalam masa tidak berapa lama lagi," jelasnya. - UTUSAN ONLINE