Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, bagaimanapun, penglibatan masyarakat Siam da­lam pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan terutama dalam aspek ekonomi dan pendidikan dilihat masih kurang memberangsangkan.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah komited merancang pelbagai strategi baharu bagi memperkasakan agenda membela masyarakat Siam di seluruh negara dari semasa ke semasa.

“Usah peduli dengan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan tidak mempedulikan ma­syarakat Siam. Ini tidak betul. Mereka sebenarnya mendapat pe­luang dan layanan sama rata seperti golongan bumiputera lain.

“Cuma kita dapati, ada maklumat berkaitan program kerajaan, tidak sampai kepada masyarakat Siam menyebabkan mereka tidak mengetahui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu me­reka dari segi ekonomi, sosial dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Memperkasa Agenda Masyarakat Siam Kelantan, anjuran Persatuan Wanita Siam Kelantan di Wat Uttamaram, Kampung Teresek, Repek, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abdullah Mat Yasin dan Pengerusi Persatuan Wanita Siam Kelantan, KC Ngiam Eh Kuan.

Sepanjang program itu, antara aktiviti yang berlangsung termasuklah pameran dan pe­nerangan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta ceramah berkaitan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh GiatMara.

Ismail Sabri dalam pada itu berkata, mengikut rekod, seramai 25 pelajar keturunan Siam di negeri ini mendapat penajaan daripada MARA untuk melanjutkan pelajaran di universiti awam dan swasa tempatan serta luar negara.

“Kita telah melonggarkan syarat kemasukan khusus untuk pelajar luar bandar termasuk masyarakat Siam. Kita juga minta pemimpin setempat kumpulkan nama pelajar yang boleh disyorkan untuk menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan institusi pengajian tinggi lain.

“Setakat ini terdapat sembilan pelajar Siam menuntut di MRSM, iaitu tiga pelajar di MRSM Ba­ling, tiga pelajar di MRSM Jeli, dua pelajar di MRSM Gerik dan seorang pelajar di MRSM Pendang,” katanya.

Beliau berkata, terdapat 13 wakil Siam di negeri ini menjadi peserta program tanam semula getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan 10 wakil siam menjadi peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Katanya, pihak kementerian juga merancang menambah penglibatan belia keturunan Siam dalam program Usahawan Berge­rak atau [email protected] di seluruh negara.