Agenda 30 peratus wanita tidak seharusnya dipinggirkan
Dr. Rafiah Salim

Penyandang Kursi Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Tan Sri Dr. Rafiah Salim berkata, statistik ketika ini yang hanya melihat pembabitan 14.2 peratus wanita sebagai ahli lembaga pengarah adalah tidak seimbang dengan perangkaan 70 peratus wanita memiliki pendidikan universiti berbanding lelaki.

“Sekiranya kita telah melabur kepada wanita kita yang mana mereka berkemahiran dan berbakat, maka kita patut memanfaatkan mereka sepenuhnya.

“Kita ada 70 peratus wanita di universiti tetapi kenapa masih tiada 30 peratus wanita

sebagai ahli lembaga pengarah syarikat, itu bermakna kita tidak memanfaatkan bakat yang ada pada golongan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Pengarah Wanita Dalam Dunia Lelaki’ anjuran Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Datuk Dr . Noor Azlan Ghazali dan Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Prof. Datin Dr. Norizan Abdul Razak. - UTUSAN ONLINE