Naib Presiden Kumpulan SAAB Malaysia, Thomas Linden berkata, pengaplikasian AEWC mampu mengesan objek di laut dan udara seperti misil kapal laut serta jet pejuang sebanyak 10 kali ganda penglihatan walaupun dalam keadaan cuaca yang kurang baik.

Kata beliau, pemilihan pesawat tersebut merupakan pemilihan yang tepat untuk memastikan negara ini dapat mengawal kawasan sempadan perairan seperti di Laut China Selatan dan Laut Sulu.

“Radar pesawat ini dapat mengesan sebarang kehadiran objek yang mencurigakan di semua altitud ketinggian.

“Pengguna pesawat ini bukan hanya tertumpu pada tujuan ketenteraan semata-mata, malah melibatkan operasi mencari dan menyelamat, melindungi zon nelayan, bencana alam, konflik, serta memerangi keganasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 di sini hari ini.

Kumpulan SAAB antara 512 syarikat pempamer industri maritim dan aeroangkasa yang menyer­tai LIMA 2015.