Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program pembangunan pekebun kecil itu amat signifikan dalam membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dalam berhadapan harga getah yang tidak menentu.

“Program yang mula dilaksanakan pada 2015 ini amat bermanfaat dalam usaha kita membantu me­ningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan menjana pendapatan tambahan kepada mereka.

“Jadi kita berharap pekebun kecil dapat mengambil peluang ini untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui geran bantuan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera kali pertama di Dewan Pejabat UMNO Bera di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah RISDA negeri, Ali Sabuddin Abd. Samad dan Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera, Datuk Tahzir Husain.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Bera turut hadir program kenduri kampung bersama masyarakat setempat di Masjid Triang di sini.

Menurut Ismail Sabri, program itu terbuka kepada semua pekebun kecil dan juga anak mereka yang mempunyai kawasan tanah untuk diusahakan dengan pelbagai aktiviti ekonomi tambahan.

Katanya, setiap pemohon akan diberikan peralatan dan keperluan yang diperlukan mengikut projek dilaksanakan dengan geran maksimum bernilai RM20,000 setiap orang.

“Setakat ini program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan di mana di Pahang sahaja dengan peruntukan RM1.3 juta terdapat seramai 1,300 pekebun kecil telah mendaftar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam keadaan harga getah yang tidak menentu, pekebun kecil diminta tidak hanya bergantung kepada komoditi itu semata-mata.