Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook malah menegaskan tujuan pelaksanaan sistem berkenaan bukannya untuk menghukum dan tidak memberi keuntungan kepada kerajaan.

Jelas beliau, tiada istilah pusingan-U melibatkan soal kamera AES memandangkan sistem berkenaan dilaksana bagi memastikan penguatkuasaan lebih efektif di lebuh raya.

“Kita mulakan dengan satu bab penguatkuasaan tegas. Bukan hendak kutip hasil atau hendak perangkap pemandu sebaliknya kita hendak didik pemandu agar tidak memandu melebihi had laju.

“Sudah tentu banyak kemalangan akan berlaku jika tiada kamera kerana pemandu akan memecut laju dan sebagainya. Yang saya menentang dahulu kerana AES itu diswastakan, di mana sebarang saman akan dibayar kepada syarikat swasta, itu yang saya tidak setuju,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Astro Awani, semalam.

Baru-baru ini, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Hasanuddin Mohd. Yunus bersetuju dengan penambahan AES dan menyatakan pemasangannya serta saman yang dikeluarkan menepati maqasid syariah dalam Islam.

Namun begitu, seorang lagi Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar tidak bersetuju dengan penambahan itu kerana merasakan perkara tersebut adalah tidak wajar. - UTUSAN ONLINE