Pada masa sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebanyak 1,268 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak kerajaan mula mengambil alih kesemua operasi AES dan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas), Sabtu lalu.

Jelas beliau, jumlah tersebut melibatkan 1,121 saman melebihi had laju dan 147 saman melanggar lampu isyarat.

Sehubungan itu, Anthony berkata, kerajaan akan mula mengetatkan penguatkuasaan dengan tiada lagi pengecualian atau diskaun bagi kompaun bernilai RM300 atas apa-apa kesalahan di bawah Awas di samping memotong mata demerit.

“Peningkatan jumlah peman­du tidak bertanggungjawab da­lam tempoh dua minggu itu sangat mendukacitakan. Jadi, apabila kita lebih tegas selepas ini, janganlah pula ada yang bi­sing mengatakan Menteri Pe­ngangkutan kejam.

“Sebagai kerajaan, kita bukannya mahu menghukum tetapi langkah yang dilakukan ini hanyalah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Kawalan Awas di Kelana Jaya dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid dan Timbalan Ke­tua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan, Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman.

Baru-baru ini, Anthony me­ngumumkan semua saman AES sejak 2012 sebanyak 3.1 juta bernilai RM435 juta dibatalkan serta-merta dengan operasi kamera dan saman itu diambil alih oleh JPJ bermula Sabtu lalu selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat konsesi pengendali sistem AES yang tamat pada 31 Ogos lalu.