Sebaliknya, kerajaan perlu meneliti dan mengkaji secara menyeluruh tiga aspek penting bagi memastikan pemandu mematuhi undang-undang sekali gus dapat mengubah sikap negatif mereka.

LAW TEIK HUA
LAW TEIK HUA 

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, antara perkara yang perlu diteliti adalah pelaksanaan ‘Op Selamat’ sepanjang masa dan bukan hanya sekadar musim perayaan semata-mata.

Selain itu, kerajaan perlu melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha me­ngurangkan kadar kemalangan di kawasan bandar.

“Agak sukar mengubah sikap pemandu dan ia bertambah teruk ketika musim perayaan. Sebagai contoh pelaksanaan AES, pemandu hanya perlahan di kawasan kamera, selepas itu mereka memecut laju. Jadi adakah ia benar-benar berkesan ?

“Sebab itu, ‘Op Selamat’ atau apa jua operasi perlu dilakukan setiap masa termasuk de­ngan melibatkan pelbagai agensi lain,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Teik Hua berkata, modul latihan sekolah memandu juga perlu diubah dengan mengikut contoh di negara lain termasuk Australia dan United Kingdom (UK).

“Di dua negara ini, mereka ada satu modul yang dipanggil Hazard Perception Test. Pemandu akan diuji sama ada mereka dapat mengenal pasti bahaya atau tidak menerusi skrin .

“Silibus di Malaysia berbeza. Pemandu akan diuji terus dalam kereta. Sekarang sudah tiba masanya kita berubah dan tidak mengikut cara yang sama,” jelasnya.