Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, prosedur operasi standard (SOP) pihaknya adalah bagi memastikan penumpang di dalam tren yang terhenti dibawa ke stesen secepat mungkin.

“Kita berasa amat bimbang apabila segelintir daripada penumpang bertindak tidak mematuhi pengumuman keselamatan di dalam aerotren agar mereka terus berada dalam tren tersebut.

“Sebaliknya, mereka telah membuka pintu untuk turun daripada tren berkenaan seperti yang berlaku semalam,” kata­nya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang semalam, kira-kira 20 penumpang dilaporkan berjalan di landasan aerotren berikutan kerosakan tren berkenaan.

Tambah Badlisham, SOP pemulihan MAHB akan memastikan kesemua penumpang dipindahkan secara betul dan diiring ke stesen seperti yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, MAHB menasihatkan penumpang untuk melihat pengumuman dan arahan ketika berlaku kerosakan tren sebagai sesuatu yang pen­ting demi keselamatan serta kemudahan mereka sendiri.

Jelas Badlisham, permasalahan mekanikal merupakan sesuatu yang tidak dapat di­elakkan dalam mana-mana perse­kitaran operasi.