RUSYAINIE RAMLI
RUSYAINIE RAMLI 

Pegawai Perubatan Kanan KD Sultan Ismail, Leftenan Kolonel Dr. Rusyainie Ramli berkata, nyamuk berbahaya berkenaan mampu bertelur dan membiak dalam jumlah yang banyak sehingga mencecah ribuan ekor dalam tempoh singkat di suatu kawasan.

“Kitarannya bermula daripada telur, berubah menjadi jentik-jentik (larva) di dalam air jernih sebelum bertukar kepada kepompong (pupa) dan seterusnya matang sebagai nyamuk dewasa yang mampu menyebarkan virus denggi melalui gigitan.

“Kemampuan nyamuk aedes (betina) bertelur sebanyak tiga kali sebelum mati membolehkan ia terus membiak di merata tempat terutamanya kawasan yang pesat membangun seperti bandar-bandar besar,” katanya kepada Utusan Online baru-baru ini.

Katanya, tempat pembiakan terutamanya bekas atau lopak air bertakung di tapak-tapak pembinaan, lot kedai, tanah terbiar serta tempat pelupusan atau longgokan sampah berdekatan dengan kawasan kediaman dikira pemangkin kepada peningkatan kes denggi di negara ini.

“Nyamuk jenis berkenaan berupaya untuk terbang sejauh 100 meter di kawasan sekitar untuk menyebarkan kuman virus denggi kepada sesiapa sahaja (dewasa atau kanak-kanak) yang terkena gigitannya.

“Individu yang terkena virus tersebut akan mengalami simptom demam secara mendadak selama dua hingga ke tujuh hari, ruam, sakit badan atau sendi. Sungguh pun begitu, tiada sebarang rawatan spesifik untuk demam tersebut namun pihak klinik atau hospital akan bertindak memberikan rawatan sokongan termasuk membekalkan ubat tahan sakit (paracetamol) untuk mengurangkan demam.

“Bagi demam denggi di peringkat Dengue Shock Syndrome (DSS) yang telah melibatkan kegagalan organ termasuk hati serta jantung, kita akan merujuk ke wad kecemasan dan pemantauan terhadap cecair ‘colloids’ serta platelet akan dilakukan setiap masa. Harus di ingat, apabila pesakit sudah berada di tahap ini, kemungkinan kes kematian itu amatlah tinggi,” katanya.

Justeru, tambahnya, salah satu cara menghapuskan ‘pembunuh’ senyap ini adalah dengan menghapuskan tempat pembiakannya. - UTUSAN ONLINE