Diskusi ilmu pada pukul 2.30 petang sempena Program Profesor Bersama Masyarakat di Terengganu itu akan membincangkan tajuk yang tentunya menimbulkan polemik iaitu Transformasi Kesejahteraan Ummah: Bolehkah Malaysia Menjadi Model Terbaik?

Tajuk berkenaan akan dikupas oleh tiga ahli panel iaitu Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif; pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Khir dan Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Terdahulu pada sebelah paginya, Program Profesor Bersama Masyarakat selama dua hari itu dimulakan dengan lawatan anggota MPN dari KluSter Perubatan dan Sains Kesihatan ke Kampung Tok Jembal dan disusuli dengan sesi Neuro-Linguistic Programming (NLP) dengan lebih 1,000 pelajar kumpulan sasar di UniSZA.

Antara pengisian lain dalam program itu ialah Forum Kesejahteraan Ummah bertajuk Islam dan Isu Baitul Maqdis di pekarangan Masjid Tok Jembal mulai pukul 9 malam esok.

Felo Utama Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (Inspire) UniSZA, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah akan bertindak selaku moderator manakala panel terdiri daripada pensyarah UniSZA, Prof. Dr. Basri Ibrahim; pensyarah UMT, Prof. Dr. Ashraf Abdull Rahman dan Penasihat Agama kepada Menteri Besar Terengganu, Kamalrudin Omar.

Pada hari kedua warga MPN akan bersama dalam majlis gotong-royong menanam pokok dan melakukan lawatan ke rumah anggota masyarakat yang uzur manakala program saringan dan pemeriksaan kesihatan di samping pameran kesihatan pendidikan serta akuakultur antara yang diatur di perkarangan masjid Tok Jembal dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang. - UTUSAN ONLINE

ROSALINDA MD.SAID