Anak kedua Allahyarham, Mohd. Irwan Afendi, 25, berkata, bapanya ditemukan lemah di dalam tandas di rumah mereka pada pukul 4 pagi sebelum diberi rawatan kecemasan.

“Sejak seminggu lalu, arwah kurang sihat dan demam di­sebabkan masalah penyakit kencing manis. Pada pukul 4 pagi tadi, emak memanggil saya dan tiga adik yang berada di rumah untuk membantu mengangkat ayah yang lemah di tandas, waktu itu nafas ayah begitu laju.

“Kami segera menghubungi ambulans dan pegawai peruba­tan kemudiannya mengesahkan ayah sudah tiada selepas beberapa kali melakukan me­lakukan bantuan pernafasan,” kata­nya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian Allah­yarham di Ta­nah Perkuburan Islam Kampung Sri Fajar di sini hari ini.

Terdahulu, jena­zah Mohd. Shohaimi yang meninggalkan balu, Datin Rohaizan Yatim, 52, serta enam anak berusia antara 15 hingga 26 tahun disembahyangkan di Masjid Sultan Ahmad Shah di Sungai Isap Perdana di sini.

Berangkat menunaikan solat jenazah ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

Abdul Manan sambil menahan sebak pula berkata, pemergian Mohd. Shohaimi yang mewakili rakyat DUN Lepar sejak 2008 disifatkan sebagai kehilangan besar dalam saf kepemimpinan di Parlimen Paya Besar.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ishak Muhammad ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya akan menghantar notis memaklumkan kekosongan kerusi DUN Lepar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa ini.