Kejohanan selama dua hari itu yang mengingatkan kemeriahan pertandingan yang seakan menjadi tradisi tahunan suatu ketika dulu akan berlangsung di terusan sepanjang 700 meter di Pulau Wan Man di sini.

Program penutup tirai Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017 itu, dengan persaingan 12 pasukan dijangka menarik tumpuan ramai.

Pasukan berentap termasuklah dari Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Mara dan Pejabat Daerah seluruh negeri bagi merebut hadiah keseluruhan hampir RM9,000.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri II, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, adu merupakan satu istilah 'bertanding' manakala 'kolek' merupakan sejenis perahu tradisional.

"Acara pesta air ini akan dimeriahkan dengan perlumbaan pelbagai jenis perahu dan bot nelayan di samping bot berhias serta pertandingan tangkap itik, pukul bantal dan panjat tiang licin," katanya dalam sidang akhbar di Duyong Marina di sini, petang ini. Yang turut hadir Pengarah Muzium Negeri, Yusof Abdullah.

Beliau menambah, perlumbaan perahu tradisional ini diharap mampu menarik minat dan kecenderungan golongan belia remaja untuk berkecimpung dalam acara sukan air. - UTUSAN ONLINE