Hasil ciptaan bagi memudahkan tugas dalam industri seperti pembuatan, kimpalan, perabot dan automotif itu dinobat pemenang Anugerah Inovasi Paling Bernilai sekali gus berjaya merebut trofi, sijil dan hadiah wang tunai RM800.

Kumpulan daripada ADTEC Jerantut itu diketuai Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Mohd Muliady Masenin dan rakan sejawatnya, Azani Awang Hamat serta tiga pelajar semester empat Diploma Mekanikal Teknologi Pembuatan iaitu Muhammad Syukri Zainoddin, 20; Muhammad Abdillah Md Saad, 20, dan Muhammad Khairul Azmi, 20.

Manakala dua lagi hadiah utama iaitu Inovasi Terbaik dan Inovasi Berpotensi telah dibolot wakil Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu menerusi rekacipta ‘Easy Power Clamp’ dan ‘Four 7’ yang memenangi hadiah wang tunai RM500 dan RM300.

Sebanyak 27 kumpulan terdiri 108 peserta dari Kelantan, Kedah dan Pahang telah menyertai pertandingan anjuran ILP Kota Bharu itu yang bermula sejak semalam.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan Pengerusi Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) Wilayah Utara yang juga Pengarah Japan-Malaysia Technical Institute (JMTI), Zaihan Shukri pada Majlis Penutup KRISTEK 2017 di ILP Kota Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Zainudin Ahmad.

Menurut Zainudin, ini adalah tahun ketiga pertandingan tersebut dianjurkan dan pihaknya merancang untuk membuka penyertaan lebih besar termasuk dari sekolah pada masa hadapan.

“Pertandingan ini mendapat sambutan hangat termasuk daripada institusi latihan teknikal dan vokasional luar Kelantan walaupun sebenarnya kita rancang untuk peserta tempatan sahaja,” katanya. - UTUSAN ONLINE