Harga berkenaan walau bagaimanapun gagal mengatasi rekod harga bidaan nombor plat RR6 yang merupakan harga tertinggi sebelum ini pada nilai RM459,800 yang dikeluarkan pada tahun lalu.

Nombor pendaftaran kenderaan RY menjadi tumpuan kerana merupakan siri terakhir dua huruf di negeri ini.

Plat kedua tertinggi dibida adalah RY9 dengan harga RM180,000 oleh Wong Chee Fong manakala plat RY2 adalah nombor ketiga tertinggi dibida pada harga RM150,000.

Nombor pendaftaran lain yang dibida dengan nilai ratusan ribu masing-masing ialah RY3 (RM140,000); RY8 (RM118,000); RY6 (RM110,000 dan siri RY7 dengan nilai RM100,000.

Tempahan siri RY mula dibuka pada 5 Julai dan berakhir pada 18 Julai lalu manakala nombor pendaftaran baharu RAA dibuka bermula 24 Julai sehingga 7 Ogos depan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohamad Tarmizi Ghazali berkata, tempahan nombor pendaftaran kenderaan RY mendapat sambutan hebat kerana merupakan siri terakhir dua huruf.

Dalam pada itu, bagi orang ramai yang sempat membuat tempahan nombor pendaftaran kenderaan RY yang menjadi siri terakhir dua huruf sebelum ini, pasti bertuah kerana menjadi sebahagian daripada sejarah negeri ini. - UTUSAN ONLINE