Rakyat Singapura dihidangkan dengan perbalahan terbuka antara pewaris mendiang Lee Kuan Yew sejak bulan lalu berhubung keputusan sama ada untuk meroboh rumah keluarga itu atau membenarkan kerajaan memutuskan jika ia seharusnya dipelihara menjadi tapak sejarah.

Anak perempuan Kuan Yew, Wei Ling dan anak lelaki bongsunya, Hsien Yang menegaskan, rumah itu wajar dirobohkan sejajar dengan wasiat bapa mereka.

Semasa sidang khas Parlimen untuk menjelaskan isu yang dikatakan sesetengah pihak menjejaskan imej republik ini, Hsien Loong berkata, beliau mahu mengelak daripada mengheret adik beradiknya ke mahkamah kerana menghina.

Adik beradiknya dalam reaksi balas di Facebook mengalu-alukan tindakan menyelesaikan perkara itu secara peribadi.

“Kami mengalu-alukan hasrat Hsien Loong pada 4 Julai lalu untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap kami secara peribadi tanpa membabitkan peguam atau agensi kerajaan,” kata mereka. - REUTERS