Tidak sampai satu tahun hidup berpoligami dengan dua isteri, pelakon berusia 34 itu dikatakan telah membuat permohonan untuk bercerai dengan isteri pertamanya, Zuhaidah Yusof, 42.

Menurut sumber kepada Mingguan Malaysia, pelakon popular kelahiran Singapura itu telah pun membuat pendaftaran permohonan untuk bercerai dengan Zuhaidah atau mesra dipanggil Aida Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

“Dalam permohonan tersebut, Adi bertindak selaku plaintif, sementara Zuhaidah dinamakan sebagai defendan.

“Difahamkan, permohonan perceraian yang didaftarkan pada pada 3 Mac itu akan dise­but dalam masa 21 hari daripada tarikh pendaftaran di mahkamah yang sama,” jelas sumber berkenaan.

Adi dan Aida bernikah pada 14 April 2006 dan belum dikurniakan zuriat sendiri.

Sementara itu, ini bukan kali pertama pelakon berke­naan membuat permohonan untuk menfailkan percerai­annya dengan Aida yang sah menjadi isterinya pada 14 April 2006.

Pada 11 Mei 2012 permohonan untuk bercerai pernah dibuat di mahkamah yang sama.

Ketika itu, Adi pernah memberitahu media bahawa dia dan isterinya telah mengambil keputusan untuk berpisah secara baik selepas pelbagai usaha untuk menyelamatkan rumah tangga mereka gagal.

Bagaimanapun, sembilan hari selepas mendaftar permohonan untuk bercerai, pasangan itu mengambil keputusan untuk menarik semula permohonan setelah mereka berjaya menyelesaikan kemelut berkenaan ketika itu.

Adi yang kini berada di Mekah atas urusan perniagaan, bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai kes terbaharu ini.

Sementara itu, hasil penelitian Mingguan Malaysia ke laman sosial Aida, bagai mengesahkan kemelut yang semakin meruncing dalam rumah tangga mereka apabila tidak ada sebarang posting terkini membabitkan pasangan itu dibuat. Gambar terakhir bersama Adi hanya dikongsi oleh wanita berkenaan pada 28 Januari 2017 dan difahamkan diambil ketika pasangan ini mengerjakan umrah di tanah suci.

Pasangan yang sudah 11 tahun berkahwin ini kembali menjadi perbualan masyarakat setelah Adi memilih untuk berkahwin dengan isteri keduanya, Norshahida Dzolkifly, 33.

Perkahwinan secara rahsia pada 20 Jun 2016 itu pada awalnya dikatakan tidak diketahui oleh Aida, bagaimanapun tidak lama selepas itu isteri pertamanya memberitahu bahawa dia telah menerima takdir hidup bermadu.

Norshahida dan Adi sebelum itu adalah merupakan rakan kongsi perniagaan.