Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki malah menegaskan sekiranya kenyataan berkenaan bukanlah keputusan rasmi Kabinet, maka kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap Kian Ming kerana didakwa melampaui bidang kuasa yang diamanahkan.

Hal ini kerana, menurut Asyraf Wajdi, apa yang diungkapkan Kian Ming itu menjadi persoalan sedangkan pengumuman mengenai perkara berkenaan sepatutnya diumumkan sama ada oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau pun Menteri, bukannya seorang Timbalan Menteri.

“Kenyataan ini menguatkan lagi persepsi dalam kalangan rakyat bahawa kerajaan kini dikuasai DAP kerana sejak dulu lagi pemimpin parti berkenaan diketahui tidak senang dengan penjawat awam. Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pada 25 Oktober 2016 juga pernah mengatakan kakitangan awam membebankan kerajaan.

“Sekiranya diteruskan, perkara ini membuktikan dengan jelas Pakatan Harapan (PH) menzalimi penjawat awam malah seperti mahu mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 132 (2A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan penjawat awam memegang jawatan selama diperkenankan oleh Seri Paduka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kian Ming dalam wawancara bersama Astro Awani Rabu lalu mendedahkan kerajaan akan meneruskan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam kerana mendakwa masih ramai yang berpihak kepada kerajaan terdahulu.

Ahli Parlimen Bangi itu turut mengakui jentera PH dilihat lemah sejak berjaya menubuhkan kerajaan kerana ramai ‘orang kuat’ yang sebelum ini menjadi tulang belakang kepada kempen parti sudah menyertai pentadbiran kerajaan sekali gus memberi kesan kepada jentera. - UTUSAN ONLINE