Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan membuat kajian sama ada Malaysia Airlines perlu dijual atau tidak.

“Ada pihak-pihak tertentu i­ngin membeli Malaysia Airlines, jadi kita tidak tolak, kita mahu kaji sama ada perlu jual ataupun tidak.

“Saya nampak bahawa peng­urusan setakat ini, walaupun kita memilih pengurus dari luar, masih lagi mengalami kerugian, jadi satu daripada caranya adalah dengan menjual,” katanya.

Semalam, Penaung Persatuan Pekerja Bersara Malaysia Airlines Berhad (MASRA), Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman menggesa kerajaan mempertimbangkan usaha sama dengan pihak swasta sebagai cara menyelamatkan syarikat itu.

Tambahnya, dalam keadaan Malaysia Airlines yang kritikal kini, kerajaan perlu mengeluarkan kertas ca­da­ngan mengan­dungi cara-cara untuk me­nyelamatkan syarikat itu secepat mungkin dan bukan mengambil keputusan untuk menutupnya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu, beliau maklum terdapat dalam kalangan bekas pekerja berminat untuk memberikan khidmat bagi menyelamatkan syarikat itu namun strategi yang dilakukan itu tidak menguntungkan.

“Umpamanya kerajaan memberikan RM6 bilion untuk menolong Malaysia Airlines, de­ngan itu pula pihak Malaysia Airlines telah menghentikan pekerja sebanyak 6,000 orang tetapi setelah itu tidak terbang seperti dahulu. Sudah hapuskan banyak penerbangan.

“Ini bermakna dari segi pe­ngurangan kakitangan dan pe­ngurangan kerja ada beza, kalau kita kurang pekerja tetapi kita kekalkan status yang lama barulah ada simpanan, kalau kurang pekerja, kurang kerja, tiada ke­lebihan,” jelas beliau.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak menafikan rasa sa­yang beliau terhadap Malaysia Airlines.

“Saya sayang Malaysia Airlines, saya mahu ia dijadikan sebuah syarikat penerbangan nasional tetapi kita nampak seolah-olah kita tak mampu,” katanya.